Selasa, 3 Jun 2014

VIDEO : SUBHANALLAH RIBUT GERGASI LANDA TEHRAN

Pemandangan ribut pasir luar biasa ketika ia mula membadai Tehran, Iran, semalam.
Tehran: Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh, manakala 30 lagi cedera apabila ribut pasir gergasi dengan kelajuan sehingga 112 kilometer sejam, melanda Tehran semalam, menyebabkan ibu kota Iran bergelap pada waktu puncak dan memaksa beribu-ribu lagi lari menyelamatkan diri. 

Fenomena aneh yang melanda pada jam 5.10 petang waktu tempatan itu turut menumbangkan pokok, menyebabkan serpihan sampah berterbangan di jalan raya dan mengotorkan cermin kenderaan. 

“Bekalan elektrik terputus di sekurang-kurangnya 50,000 rumah. Cuaca buruk itu turut memusnahkan cermin tingkap dan menyebabkan menara telekomunikasi tumbang, selain batu-bata jatuh dari bangunan,” kata seorang pegawai kerajaan. 

LIHAT VIDEO :

Ahli kaji cuaca pada awalnya memberi amaran kepada penduduk Tehran untuk berada di dalam rumah, tidak lama sebelum agensi berita ISNA melaporkan kematian disebabkan oleh pokok yang tumbang. 

Ketua pegawai kecemasan Iran, Amin Saberinia, mengumumkan kematian itu dan berkata sekurang-kurangnya 27 orang cedera, 10 daripada mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya apabila cuaca buruk mula melanda. 

Televisyen negara kemudian melaporkan dua daripada mereka yang cedera dalam ribut berada dalam keadaan kritikal. 
SUNGGUH DAHSYAT DAN MENGERIKAN SEKALI...
“Ia tidak ubah seperti sebuah filem Hollywood yang dahsyat,” kata seorang wanita kepada wartawan yang terpaksa berlari masuk ke sebuah kedai di daerah pusat perniagaan di ibu negara untuk berlindung beberapa saat sebelum ribut melanda. 

Petanda tidak baik 

Seorang lelaki di dalam bangunan yang sama berkata: “Saya tidak pernah melihat keadaan seperti ini, saya takut ia adalah satu petanda tidak baik pada masa depan.” 

Hampir 7,000 petugas kecemasan telah dikerahkan dalam masa satu jam, kata pegawai bandar raya dan Ahad Vazifeh, yang bertanggungjawab ke atas ramalan cuaca kerajaan, memberi amaran cuaca lebih buruk akan berpanjangan sehingga Rabu. 

Selepas terputus bekalan elektrik selama 15 minit disebabkan oleh daya hentaman awal ribut pasir, hujan turun dengan angin terus kencang. 

Gambar yang disiarkan melalui media sosial menunjukkan awan pasir gergasi mengisi langit yang melitupi bandar ini, sebelum ia bertukar gelap dan suhu di luar jatuh mendadak dari 33 darjah celsius kepada 18 darjah celsius. - AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan