Isnin, 21 Oktober 2013

MISTERI TASIK NATRON

Helang yang merupakan pemangsa digeruni juga tidak terlepas daripada ‘sumpahan batu’ Tasik Notron.
TASIK sepatutnya menjadi kawasan indah untuk aktiviti bersantai sambil menikmati pemandangan yang cantik tidak kira pada waktu matahari terbit atau terbenam.

Tetapi lain pula kisahnya di Tanzania apabila sebuah tasik di negara itu ibarat terkena sumpahan ekoran kewujudan pelbagai bangkai haiwan yang menjadi keras seperti batu dengan gaya dan rupa yang menggerunkan.

Pendedahan terbaharu oleh seorang jurugambar, Nick Brandant ketika melawat Tasik Natron yang terletak di benua Afrika Timur itu menemukan bangkai kelawar, helang, bangau dan burung dalam keadaan sempurna dan seolah-olah diawet seperti mumia.

Malah nama Natron diambil sempena bahan pengawet yang digunakan oleh orang Mesir pada zaman Firaun untuk mengawet mayat para pemerintah mereka.

“Saya tidak menjangka menemukan kesemua haiwan tersebut di sepanjang tepi Tasik Natron.

“Saya mengambil bangkai terbabit dan meletakkannya dalam posisi yang menggambarkan seolah-olah haiwan terbabit masih hidup sebelum merakamkan gambar," katanya.

Brandant merakamkan beberapa gambar menarik seperti kelawar dan helang sedang hinggap di dahan, bangau berjalan di dalam air serta burung berdiri di atas batu.

Bagi merungkai misteri sumpahan tasik tersebut, Dr. David Harper dari Universiti Leicester di Britain berkata, fenomena mengejutkan itu sebenarnya berpunca akibat kandungan alkali yang tinggi yang terdapat dalam Tasik Natron.

Harper berkata, kandungan alkali yang tinggi antara 9 pH dan 10.5 pH serta suhu yang kadang-kadang mencecah 60 darjah Celsius, terhasil akibat taburan abu gunung berapi Natron dari lembah Great Rift.

“Tasik Natron mempunyai keluasan 642 kilometer persegi dan kebiasaannya spesies burung tidak dapat menyeberangi kawasan yang luas itu.

“Jika haiwan terbabit cuba mendarat atau paling teruk, termasuk ke dalam tasik berkenaan, ia akan menjadi keras ekoran kandungan sodium karbonat atau garam natrium yang sangat tinggi melekat pada badan binatang terbabit," jelasnya.

Harper menjelaskan, suhu yang tinggi di Tasik Natron merupakan penentu nasib haiwan yang terjerumus ke dalam air.

Katanya, air tasik berkenaan sangat panas dan air menyejat dengan cepat, sekali gus menyebabkan kandungan garam natrium melekat pada tubuh haiwan.

“Jadi bayangkan seekor burung yang baru keluar dari air Tasik Natron tidak mampu terbang ekoran bulu yang menjadi berat akibat garam yang melekat dengan cepat dan akhirnya mereka mati mengeras seperti batu.

“Hanya ikan jenis Tilapia Grahami dan beberapa jenis bakteria sahaja boleh hidup di dalam air yang ‘disumpah’ itu," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan