Rabu, 30 Oktober 2013

AWAS KEPADA PENYEBAR VIDEO DAN GAMBAR PEMBUNUHAN PEGAWAI AMBANK

PEMBUNUH pegawai AMBANK
YAN: Keluarga Allahyarham Norazita Abu Talib boleh membuat laporan polis berhubung penyebaran gambar dan video kematian pegawai bank itu di media sosial, jika merasakan perbuatan itu menganiaya mereka, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata berdasarkan laporan itu, polis boleh mengambil tindakan di bawah akta-akta yang berkenaan.

"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) boleh membantu polis dengan mengesahkan bahawa ia (penyebaran gambar) dibuat oleh si polan, si polan menggunakan alamat IP internet masing-masing.

"Ia (alamat IP) boleh dicari...tidak mustahil untuk (SKMM) dapat maklumkan," katanya dalam sidang media di Pusat Media Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau, Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini, Rabu.
NORAZITA bersama anak perempuannya.
Dalam kejadian pada 23 Oktober lepas, Norazita, 37, ditembak di muka oleh seorang pengawal keselamatan bank itu sendiri selepas wanita itu membuka pintu bilik kebal bank itu di Jalan USJ Central 2, Subang Jaya, Selangor.

Susulan kejadian, gambar dan rakaman video selama 32 saat tentang kejadian itu tersebar dalam laman Facebook sehari selepas itu.

Suami Norazita, Irwan Kamarudin, 37, meminta semua pihak memadam dan menghentikan sebaran gambar dan video kematian isterinya demi menghormati sensitiviti keluarga.

Irwan dilaporkan sebagai berkata penyebaran gambar itu akan lebih menyedihkan keluarga kerana gambar itu memperlihatkan keadaan tidak elok mangsa.

Ahmad Shabery berkata media massa dan individu mesti ada etika masing-masing dalam keadaan sekarang, yang segala-galanya terlalu bebas dan tidak dapat dikawal.

"Kalau dulu boleh arahkan dan ambil tindakan seperti stesen televisyen siar gambar yang tidak sepatutnya disiarkan, kita boleh beri amaran dan ambil tindakan. Sekarang ini orang ramai boleh muat sendiri gambar tersebut. Masing-masing (perlu) ada tanggungjawab," katanya.

Ahmad Shabery berkata beliau difahamkan individu yang menyebarkan gambar tersebut telah memadamkannya, dan beliau berharap tiada lagi pihak yang menyebarkan gambar itu.

"Bayangkan kalau kena keluarga sendiri apa perasan kita. Kita tak mahu perkara yang kita tak suka berlaku pada kita, jadi jangan buat pada orang lain,' katanya. - BERNAMA

SUMBER

Tiada ulasan:

Catat Ulasan