Jumaat, 16 Mei 2014

TERKINI : Denda RM300 cermin gelap, plat tak ikut spesifikasi

Kuala Lumpur: Pemilik kenderaan yang menggunakan cermin gelap dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi perlu menukar kepada yang mematuhi peraturan selewat-lewatnya 15 Jun ini. 

Polis akan melancarkan operasi pemeriksaan besar-besaran bermula 16 Jun yang mana denda maksimum RM300 akan dikenakan terhadap pemandu yang melakukan kesalahan itu. 
AMBIK KAU! Besar gedabak punya plat gerenti tak kena saman.
Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Fuad Abd Latiff, berkata penggunaan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi serta cermin yang terlalu gelap menyukarkan polis untuk mengecam penjenayah. 
OPS CERMIN GELAP 
Sukar jejaki penjenayah 

Apabila berlaku kes seperti ragut, samun dan bunuh, adalah sukar untuk mangsa atau saksi mengecam nombor pendaftaran yang digunakan suspek. Secara tidak langsung sukar untuk menjejaki suspek. 

Begitu juga dengan cermin yang gelap yang menyukarkan pandangan pihak berkuasa untuk mengetahui kemungkinan terdapat penjenayah yang dikehendaki atau barangan terlarang di dalam sesebuah kenderaan, katanya pada sidang media, di sini, semalam. 

Mengenai persoalan mengapa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap penjual, Mohd Fuad berkata polis akan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. 

MASIH NAK PAKAI CERMIN GELAP?

Sebelum kita berbicara mengenai cermin gelap terlebih dahulu kita fahami peruntukan Kaedah – kaedah yang ditetapkan dalam undang – undangMengikut peruntukan Kaedah 5(1) dan 5(2) Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-jenis Kaca Tertentu) 1991.

Berdasarkan kepada peruntukan tersebut, tahap ketelusan cahaya bagi cermin hadapan kenderaan (windscreen) hendaklah melebihi tujuh puluh peratus (70%) manakala bagi cermin sisi dan belakang kenderaan hendaklah melebihi 50%. 

Terdapat pengecualian di mana peruntukan ini tidak terpakai pada kawasan 20% memanjang sebelah atas cermin hadapan kenderaan dan pada tingkap tepi semua jenis bas atau carawan kecuali bagi tingkap di sebelah kiri atau kanan pemandu.

 Orang yang dibenarkan memakai Cermin Gelap Mengikut Kaedah – Kaedah
Kaedah 11(a) dan 11(b) Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-jenis Kaca Tertentu) 1991 memperuntukkan bahawa kenderaan milik Kerajaan yang digunakan oleh orang-orang berikut dibenarkan menggunakan cermin gelap iaitu:

1-Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atau Duli Yang 2-Maha Mulia Raja Permaisuri Agong.
3-Duli Yang Maha Mulia Raja sesuatu Negeri.
4-Pemangku Raja sesuatu Negeri .
5-Pembesar Memerintah Negeri bagi Negeri Sembilan.
6-Bakal Raja sesuatu Negeri .
7-Bekas Raja sesuatu Negeri .
8-Tuan yang Terutama Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri.
9-Hakim Mahkamah Agung atau Mahkamah Tinggi.
10-Pegawai polis atau pegawai tentera sebagaimana yang dinyatakan masing-masingnya oleh Ketua Polis Negara atau Ketua Turus Angkatan Tentera.

Adakah terdapat pengecualian bagi penggunaan cermin gelap?

Di bawah Kaedah 11(c) Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-jenis Kaca Tertentu) 1991 memperuntukkan kuasa Menteri memberi kebenaran secara bertulis untuk penggunaan cermin gelap.

Di bawah peruntukan itu, Menteri mempertimbangkan penggunaan cermin gelap yang dipohon atas sebab-sebab kesihatan dan keselamatan pemohon.

Bagi tujuan permohonan penggunaan cermin gelap kerana mempunyai masalah kesihatan, pemohon boleh mengemukakan permohonan penggunaan cermin gelap kepada Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia untuk kelulusan Menteri Pengangkutan.

Pemohon boleh dapatkan borang khas permohonan penggunaan cermin gelap di alamat berikut; Bahagian Penguatkuasa, JPJ Malaysia, Aras 1, Blok D4, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62620 Putrajaya.

Sekiranya cermin gelap tidak dibenarkan, mengapa terdapat kedai aksesori kenderaan menawarkan pemasangan cermin gelap dan terdapat kedai berkenaan yang mendakwa mendapat kelulusan JPJ?

Dengan adanya permintaan daripada orang awam, bertambahlah kedai yang menawarkan penjualan dan pemasangan cermin gelap di pasaran.

Terdapat berbagai-bagai jenis material yang digunakan untuk menggelapkan cermin kenderaan. Selain itu, kemasukan kenderaan import yang dipasang siap dengan cermin gelap menjadi faktor penggalak kepada penggunaan cermin gelap.

Adalah tidak benar dakwaan bahawa JPJ memberi kelulusan kepada mana-mana kedai aksesori bagi tujuan pemasangan cermin gelap.

Namun demikian, adalah tidak menjadi kesalahan jika pemasangan yang dilakukan mematuhi ketelusan cahaya yang dibenarkan.

Terdapat kenderaan yang diimport di mana cermin gelap telah siap dipasang di kilang. Adakah ini juga menyalahi peraturan?

Sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991, ketelusan cahaya hendaklah mematuhi peruntukan di bawah kaedah tersebut, tidak kira sama ada ia kenderaan import atau sebaliknya.

Untuk tujuan pendaftaran, setiap kenderaan import dikehendaki menjalani pemeriksaan khas di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) terlebih dahulu sebelum ia didaftarkan oleh JPJ.

Sekiranya didapati kenderaan tersebut tidak mematuhi Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991, kenderaan tersebut tidak akan didaftarkan sehinggalah pemilik berdaftar menukar cermin kenderaannya itu.

Sekiranya seseorang itu memasang cermin gelap yang tidak mematuhi peraturan atau tidak mendapat kelulusan, apakah denda yang akan dikenakan terhadapnya?

Denda atau kompaun yang boleh dikenakan bagi kesalahan pertama adalah tidak melebihi RM500 atau penjara tidak melebihi dua minggu.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda yang boleh dikenakan adalah tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi satu bulan atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanakah proses pemeriksaan yang dilakukan oleh anggota penguat kuasa JPJ ke atas kenderaan yang menggunakan cermin gelap?

Anggota penguat kuasa JPJ akan menahan kenderaan tersebut dan mengukur tahap ketelusan cahaya dengan menggunakan alat pengukur khas.

Sekiranya keputusan ujian didapati gagal mematuhi tahap ketelusan cahaya yang ditetapkan, anggota penguat kuasa JPJ akan mengeluarkan Notis Larangan Penggunaan Kenderaan Motor dan mengeluarkan saman kepada pemandu pemilik serta merta.

Pemilik kenderaan diberi tempoh 10 hari untuk menukar keadaan cermin kenderaan tersebut dan diminta hadir di mana-mana JPJ berdekatan untuk pemeriksaan semula.


Kegagalan mematuhi notis tersebut dan kegagalan menyelesaikan saman dalam tempoh masa yang ditetapkan, mengakibatkan kenderaan terbabit disenaraihitamkan oleh JPJ.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan