Rabu, 21 Mei 2014

Tak selamat kalau mimpikan Dyana

Dyana Sofya calon DAP memang cantik, siapa pun tidak boleh menafikan!
KALAULAH menara jam condong Teluk Intan hidup, mungkin ia sudah tegak semula dalam beberapa hari ini. Tegak bangga kerana Teluk Intan tiba-tiba jadi sebutan.

Sebelum ini, meskipun bandar pusat pentadbiran Daerah Hilir Perak itu miliki menara condong yang unik - seunik Menara Pisa di Itali - namun ia seakan tidak dipedulikan.
Tidak ramai orang yang ambil tahu, apa lagi mahu melawat menara jam yang sudah berusia 130 tahun, setinggi 85 kaki dan punya 110 anak tangga itu.
Menara jam condong Teluk Intan
Sebab musababnya, barang kali kerana tidak ada tarikan lain yang diusahakan di sekitar menara jam itu untuk memikat hati pelancong ke Teluk Intan meskipun jarak dari situ ke Kompleks Sejarah Pasir Salak yang menyimpan khazanah pahlawan Datuk Maharajalela tidaklah sejauh mana.

Sebut mengenai Teluk Intan, generasi muda hari ini mungkin ramai tidak tahu bahawa bandar itu dahulunya bernama Teluk Anson. Bermula 1 Januari 1982, atas titah perintah Sultan Perak pada masa itu, Sultan Idris Shah, Teluk Anson ditukar kepada Teluk Intan sebagai menghapus elemen bahasa penjajah.

Nama Teluk Intan dikatakan diambil daripada nama lama pekan itu, Pekan Teluk Mak Intan yang mengikut satu versi berasal daripada nama seorang janda cantik asal dari Mandahiling, Sumatera.

Intan atau Mak Intan, antara pedagang yang meneroka kawasan itu pada awal abad ke-19. Apabila kawasan itu semakin maju dan membangun, ia dikenali sebagai Pekan

Mak Intan. Kemudian, ramailah orang luar datang berdagang terutama dari Jawa, Rawa, Minang dan Bombay (Mumbai). Antara dagangan yang mahsyur pada waktu itu ialah rempah ratus, hasil pertukangan besi dan kain.

Satu versi yang lain pula menyebut nama Teluk Intan berasal daripada nama Intan, seorang gadis jelita anak keluarga pedagang yang berpengaruh.

Pada suatu hari, tatkala Intan sedang mandi manda bersama rakan-rakannya di tebing Sungai Perak, cincin pemberian ibunya telah tertanggal dari jarinya dan hilang dibawa arus. Ini menyebabkan Intan sangat bersedih.

Oleh kerana dia daripada keluarga berpengaruh, tempat itu lalu dinamakan Teluk Intan mengambil sempena namanya. Sama ada benar ataupun tidak kedua-dua kisah ini, tidaklah dapat dipastikan.

Apa pun, kedua-dua versi ini adalah berkaitan dengan gadis atau wanita cantik. Kebetulan pula, mahsyurnya nama Teluk Intan ke seantero negara dalam sehari dua ini bukan semata-mata disebabkan kempen pilihan raya kecil yang sedang berlangsung tetapi kerana calonnya.

Kalau hendak dikatakan kerana pilihan raya kecil, di Bukit Gelugor Pulau Pinang pun sekarang ada pilihan raya kecil juga tetapi perhatian ramai orang tetap juga tertumpu ke Teluk Intan.
Dyana Sofya
Dyana Sofya calon DAP memang cantik, siapa pun tidak boleh menafikan!

Jika tidak masakan dua menteri yang juga pemimpin kanan Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin sampai perlu mengingatkan: "Ini bukan pertandingan ratu cantik!"

Rasanya tidak pernah ada mana-mana pilihan raya pun sebelum ini yang hal kecantikan calon begitu diberikan perhatian seperti PRK Teluk Intan. Kawan-kawan lelaki dalam Umno pun ada yang berjenaka, "kalaulah aku pengundi Teluk Intan, aku pun pangkah dia. Dah jadi YB, boleh kerap jumpa..."

Kalau yang bertanding itu Ngeh Ko Ham atau mana-mana pun pemimpin DAP yang lain, mati hidup balik pun mereka tidak akan lalu untuk berkata seperti itu.
Sampai begitu sekalilah!

Agak-agaknyalah, akan berlaku atau tidak kemungkinan ahli Umno lelaki yang akan mengundi di Teluk Intan pada 31 Mei ini sampai terpangkah, ataupun sengaja memangkah Dyana Sofya pada kertas undi?

Hal kecantikan Dyana bukan sahaja heboh di Teluk Intan. Dalam media sosial pun tidak kurang juga pengaruh dan popularitinya. Bukan sedikit kawan-kawan lelaki yang berseloroh 'mimpikan' Dyana dalam sehari dua ini. Entahkan seloroh, entahkan betul-betul mimpi, wallahua'lam!
Dyana Sofya
Kalau betul, agaknya macam manalah reaksi orang sebelah? Kalau setakat mimpi diam-diam, tidak mengapalah... tetapi bagaimana kalau sampai tersebut nama?
Dyana! Dyana! Dyana!

Apa nak dijawab kalau isteri sampai terjaga dan terdengar? Kalau sebut nama lain, masih boleh lepas lagi.

Contohnya: Seorang suami yang sedang tidur tiba-tiba bermimpi dan menyebut nama "Mah! Mah! Mah!"

Dek kerana agak kuat bunyi suara, isteri sampai terjaga. Bingkas bangunlah dia. Terus sinting lengan baju (kalau berbaju) dan sambil menggoncang-goncang badan suaminya, dia bertanya, "Mah mana pulak ni bang? Cepat bangun... jawab dengan saya, Mah mana? Cepat!!!!"

Si suami yang terkejut, bangun dan sambil mengenyeh-genyeh mata masih ada harapan untuk selamat jika menjawab: "Mah Siew Keong... Datuk Mah Siew Keong yang bertanding di Teluk Intan tu. Saya kan baru balik dari kempen dia!"
Dyana Sofya
Selamat. Tetapi kalau sebut Dyana... susah sikitlah!

Sebabnya, isteri kita pun masing-masing tahu Dyana cantik. Walaupun dia sendiri tidak kenal kita tetapi kalau sampai terbawa-bawa dalam mimpi, itu sudah kira kes parah!

Berbalik pada persoalan awal tadi, Menara Condong Teluk Intan pun mungkin akan tegak jika ia sedar akan perhatian yang diberikan terhadap bandar itu dalam seminggu dua ini. Akan tetapi jika tegak menara itu, hilanglah keunikannya.

Tetapi kalaulah dengan kecondongannya yang unik selama lebih 100 tahun itu pun ia masih tidak diberikan perhatian, ia sama sahaja menara-menara jam lain di seluruh negara yang tidak mempunyai keunikan sama seperti menara Teluk Intan.

Tidak kiralah siapa yang akan naik jadi Ahli Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei ini, harapnya akan dapat mengusahakan sesuatu yang boleh memberi nilai tambah kepada tarikan pelancong ke bandar Hilir Perak ini.

MUHAMMAD MAT YAKIM
21 Mei 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan