Ahad, 8 Disember 2013

BOT KARAM: 13 KOMANDO MALAYSIA DITEMUI SELAMAT DI PANTAI KUNDUR

11 pelatih komando, 2 jurulatih berjaya berenang dari Pulau Upeh ke Pantai Puteri
Melaka: Seramai 13 anggota tentera termasuk 11 pelatih komando yang dilaporkan hilang selepas bot mereka karam dilanda ombak di perairan Selat Melaka, berhampiran Klebang, dekat sini malam kelmarin, ditemui selamat selepas berjaya berenang ke Pantai Puteri, awal pagi ini. 


Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka berkata, mereka ditemui orang awam dalam keadaan selamat di Pantai Puteri jam 1.19 pagi. 
Gerakan mencari dan menyelamat 13 anggota tentera dilakukan sebaik menerima maklumat
Kejadian jam 9.30 malam kelmarin berlaku ketika mereka sedang menjalani latihan mendayung dari pantai pesisir Kem Sungai Udang menuju ke Pulau Nangka, berhampiran Pulau Besar, dekat Serkam. 

Laporan awal menyatakan kemungkinan bot berkenaan hilang tidak jauh dari Pulau Upeh berhampiran Dataran 1Malaysia Klebang.

Pelatih yang hilang menyertai Kursus Asas Komando Siri 2/2013 Pusat Latihan Peperangan Khas (PULPAK), manakala dua lagi adalah jurulatih mereka.

Ketika sesi latihan, sebanyak lima bot, iaitu empat jenis Assault dan satu Titan digunakan, manakala bilangan anggota pula seramai 45 orang termasuk seorang berpangkat pegawai dan dua jurulatih.

Kehilangan bot jenis Assault yang dinaiki 13 anggota komando disedari oleh rakan mereka apabila tiba di Pulau Upeh, kira-kira lima batu nautika dari Kem Sungai Udang pada jam 12.30 malam. 
Susulan itu, gerakan mencari dan menyelamat dilancarkan namun gagal ditemui sehingga awal malam tadi.
LOKASI kejadian
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman yang mengesahkan kejadian berkata, gerakan mencari dan menyelamat semua 13 mangsa diberhentikan jam 7.30 malam dan akan disambung jam 7 pagi ini.

Katanya, seramai 115 anggota termasuk tentera, polis marin, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat terbabit dalam operasi itu.

Minta bantuan unit udara

“Kita juga memohon bantuan unit udara bagi mengesan mereka, namun keadaan cuaca semakin gelap ia tidak dapat dilakukan. Saya percaya mangsa masih selamat dan gerakan mencari akan diteruskan waktu siang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi.

Salehhudin berkata, pihaknya menerima maklumat sepasukan anggota komando dari PULPAK di Kem Sungai Udang menjalani latihan mendayung menuju ke Pulau Nangka.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan